Pages

FREE PALESTINE

Friday, March 11, 2011

Saya, sajak dan SMK St. Teresa

Tahun lepas saya berpeluang menjadi salah seorang warga pendidik di SMK St. Teresa, Kuching. Saya mengajar subjek Prinsip Akaun dan Ekonomi Asas selama dua bulan menggantikan seorang guru yang cuti bersalin. Selepas itu ada rezeki untuk saya kerana seorang guru sandaran (GSTT) telah meletak jawatan. Beliau mendapat pekerjaan yang lebih baik.

Saya pun diberi tawaran untuk menyambung kontrak beliau. Selepas Jun 2010, saya terus berkhidmat di sana. Kali ini saya mengajar matapelajaran Pendidikan Jasmani & Kesihatan dan Pendidikan Sivik & Kewarganegaraan.

Selepas itu, saya telah menulis beberapa buah sajak untuk sekolah. Sajak-sajak tersebut kebanyakannya telah disiarkan di laman sosial Facebook. Berikut ialah sebahagian daripada sajak yang saya maksudkan:

Ramalan musim peperiksaan

(dedikasi buat pelajar Tingkatan 5, 2010 SMK St. Teresa)

oleh Mohd. Fahmi

Kesunyian Taman Ilmu

mengganggu selera ketika bersarapan

bersama teman pagi itu,

aku ingin mendengar riang

suara budak-budak mengejar burung

yang terperangkap di celah pohon bunga renek,

hei kawan, bukankah kita sendiri pernah

berkejaran di situ?

Hatiku menjerit mendengar dering loceng,

mengapa tak ditutup saja

ketika musim peperiksaan melanda,

teringat pula waktu kita

berdiam diri menunggu cikgu masuk

sedangkan kerja rumah tak siap,

semalam berchating di facebook

sampai larut malam,

sembang pasal budak hensem

di sekolah seberang jalan

yang tak pandang, jeling pun sombong tak mahu.

Sudahnya kita sama-sama dimarahi cikgu

dan langsung tak kenal lelaki itu.

Mudahnya berjalan di koridor lengang ini

Hei! Mana pergi junior kita

yang asyik berkejaran

hingga tak sedar melanggar.

Tak ada lagi junior petang

berbaris panjang menunggu kita pulang,

aku masih ingat wajahmu teman

aku masih ingat wajahmu teman

ketika kita di usia itu membaca ‘manga

komik Jepun kesukaan bersama

kita menangis melihat hero dan heroinnya

terpisah oleh antagonis yang kejam.

Sekolah ini terlalu besar

dan sunyi,

peperiksaan musimnya dah tiba

tentukan masa depan kita.

Dewan ini terlalu diam

hanya bilah kipas berbicara,

tempat inilah dahulu

aku pernah berteriak sepuasnya

berlari-lari bermain ‘jadi’

kalau cikgu PJK belum tiba.

Dewan ini tempat kita menari

menangis dan bersuka ria bersama.

Hari ini ia terlalu diam

melihat cemas wajah kita.

Lima tahun alang sekejap kepalang

pejam celik dah tak ada lagi

pasu bunga di pintu masuk St. Jude,

bawah tangga dewan

pun sudah bertuan,

jalan berbumbung menutup kepala

dari terik mentari dan basah hujan.

Banyak lagi cerita tak terungkap

banyak lagi wajah tak ingin dilupakan

kau pun jangan sesekali berdiam diri

selepas kita terpisah oleh IPT dan pelamin indah

hala tuju masa depan masih jauh

dari realiti.

Cikgu,

kami datang dengan harapan

ingin pulang dengan kejayaan,

Teman,

sesekali jenguklah

guru-guru di sekolah tercinta

kerana mereka setia menunggu

di rumah api ini,

memancar kecemerlangan demi

puteri St. Teresa.

20 Oktober 2010

SMK St. Teresa.

**********************************************************************************************

Di lensa prihatin

(dedikasi buat Cikgu Azhar dan Cikgu Yasmin)

oleh Mohd. Fahmi

Kau merakam

dari lensa prihatin

menyimpan segala peristiwa

teguh di album kenangan

buat tatapan kita bersama.

Karyamu bicara seribu kata

luahan jiwa seni

menyusun manusia dan suasana

menjadi indah bercahaya.

Seringkali kau terleka

ada lubang bahaya

ketika mengambil gambar.

Seringkali kau terlupa

ada peluh membasah

ketika senja menjelang.

Kau terus menangkap gambar

sesekali kami terlupa

di mana kau berada

namun senyum syukur

tak pernah lekang

melihat kami di simpan

dalam gambar kenangan

27 April 2010

SMK St. Teresa, Kuching


****************************************************************************************************************

Tirai Oktober

(dedikasi buat 5S4 dan semua Tingkatan 5 SMK St. Teresa)

Di sebalik terang ceria wajah-wajahmu

hatimu hujan basah kebingungan

mendepani siri waktu berlarutan

musim peperiksaan yang datang

mencari galang bawa pulang

setelah penat mengharungi taat

lebih sedekad bergelar pelajar.

Tirai Oktober semakin kelihatan

memanggilmu untuk bersedia

luahkan semua pengetahuan dan pengalaman

menonjol diri di pentas kehidupan.

Aku masih tertanya-tanya,

adakah dirimu sudah bersedia.

27 Oktober 2010

Kelas 5S4,

SMK St. Teresa


*************************************************************************************************************

Penyinar Kecemerlangan

(dedikasi buat guru-guru SMK St. Teresa)

Ada kalanya kau mengeluh lelah

kembali dari darjah

dengan muka penuh merah,

anak-anak murid bikin kerenah.

Tak mengapa

sebentar saja hilanglah ia,

ramai temanmu mengerti

beri semangat baru

buat menatang tugas

menyampaikan ilmu.

Ada kalanya kau tersenyum bunga

hatimu ceria membawa berita

kembali dari pentas di luar daerah

menyapu licin piala juara.

Tahniah cikgu, usahamu terbalas jua

melihat anak-anak murid berjaya

cukuplah sorak ceria mereka

menjadi kepuasan sepanjang bekerja.

Namun setiap masa

kaulah penyinar budaya

terang di taman ilmu

pengharapan cahaya kecemerlangan

tanpa jemu memancar mereka

menunjuk jalan muka

setiap anak murid

yagn bergelar puteri St. Teresa.

2 Ogos 2010

SMK St. Teresa, Kuching


Sebenarnya ada beberapa karya yang sengaja saya tidak siarkan disini. Tahun ini saya berharap akan menambah koleksi untuk sekolah.

Terima kasih atas sokongan anda selama ini.


0 comments:

Post a Comment